Nov 9, 2009

LEMAH SYAHWAT

EREKSI dianggap sangat penting kepada lelaki kerana ia umpama senjata bagi melayari hubungan suami isteri. Sebab itu ramai lelaki berasa bimbang apabila berlaku perubahan ereksi terhadap diri mereka, sekali gus dianggap bukan lelaki sejati.

Sebenarnya perubahan ereksi yang berlaku kepada seseorang itu menunjukkan mereka mengalami masalah disfungsi erektil, tetapi ia ada beberapa peringkat atau tahap berlaku kepada individu terbabit.


Sebagai contoh, ada yang boleh mencapai ereksi mencukupi untuk melakukan tusukan ke faraj bagi persetubuhan beberapa kali tetapi kadangkala gagal, ia dilabelkan sebagai perubahan ereksi peringkat awal atau petanda awal yang seseorang itu mengalami masalah disfungsi erektil.

Apabila berlaku secara kekal dan melebihi enam bulan, ia dikatakan mengalami disfungsi erektil peringkat pertama. Jika dibiarkan perkara ini terus berlaku, kemungkinan besar akan mengalami masalah disfungsi erektil peringkat pertengahan iaitu kerap gagal melakukan seks dan akan mengalami masalah mati pucuk!

Jadi apabila peringkat awal disfungsi erektil berlaku, lelaki terbabit perlu berjumpa doktor dan bukan tukang urut atau makan ubat kuat untuk selesaikan masalah ereksi itu kerana ia mungkin petanda menghadapi masalah kesihatan yang boleh menggugat fungsi syahwat dan seksualnya seperti petanda awal penyakit kencing manis atau tekanan darah tinggi dan masalah peningkatan kolesterol serta lemak dalam darah atau penyakit jantung dan juga koronari.

Ini juga mungkin petanda awal yang seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup sihat selama ini seperti merokok, minum minuman keras atau tidak melakukan senaman berkala atau mengalami peningkatan berat badan yang tindak unggul.

Kajian yang pernah dilakukan di Malaysia pada 1997 mendapati kadar lelaki Malaysia berusia 40 tahun ke atas berkemungkinan mendapat disfungsi erektil atau ED dan lebih kurang satu juta lelaki Malaysia yang berumur 40 ke atas juga mengalami masalah disfungsi erektil peringkat pertama.

Purata kajian turut mendapati apabila lelaki mencapai usia 40 tahun ada kemungkinan 40 peratus dan jika usia 50 tahun akan menjangkau 50 peratus risiko kemungkinan mengalami masalah disfungsi erektil peringkat pertama.

Seharusnya sebagai permulaan untuk menghindarinya, anda digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat. Lakukan senaman jika anda tidak pernah lakukannya.

Senaman memberi kesegaran badan dan kecergasan fizikal. Menambahkan stamina dan daya fizikal dan secara langsung merangsang peningkatan hormon testosterone dan hormon ketumbesaran badan, yang mana kedua-dua hormon itu dapat memantapkan otot badan dan meningkatkan metabolisme lemak.

Senaman seperti berlari atau berjalan 30 minit sehari sekurang-kurangnya lima kali seminggu adalah mencukupi. Jika tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, elok juga anda lakukannya.

Doktor akan dapat kesan perubahan kesihatan yang negatif melalui pemeriksaan dan ujian darah serta memberi nasihat sewajarnya untuk memantapkan lagi tahap kesihatan anda.

Kebanyakan lelaki yang berusia takut berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian darah kerana khuatir dapat penyakit! Ramai fikir jika tidak berasa apa-apa yang luar biasa pada diri, ia tanda kita sihat.

Cuba bayangkan diri anda dirasakan cukup sihat tapi mengalami masalah disfungsi erektil sekali sekala. Itu sudah masalah dan perlu diperiksa dan apabila menjalani ujian darah dan diperiksa doktor, baru masalah sebenar dapat dikesan dan doktor akan beri rawatan sewajar.

Kini banyak rawatan dapat menyelesaikan masalah disfungsi erektil secara selamat dan berkesan. Jangan mudah terpedaya dengan iklan dan rayuan rakan yang menjual ubat kuat.

Kebanyakan ubat itu mengandungi racun dan ubat larangan. Anda perlu tahu masalah sebenar dan bukan hanya mengatasi lemah ereksi. Anda boleh jumpa doktor keluarga dan jika tidak dapat penyelesaian, boleh minta dirujukkan kepada pakar.

Jika mahu mendapatkan khidmat nasihat saya, sila datang bertemu saya di Damai Service Hospital di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur atau layari laman web di alamat www.dsh.com.my

No comments:

Post a Comment