Nov 9, 2009

SAIZ JADI MASALAH

SAIZ zakar sering menjadi keutamaan lelaki dan ramai berpendapat anggota kelamin mereka tidak cukup besar lalu mencari untuk membesarkannya.

Namun ada juga lelaki yang bermasalah kerana saiz zakar dikatakan besar hingga menimbulkan rasa sakit kepada isteri ketika melakukan hubungan kelamin.


Tidak dinafikan saiz zakar suami yang besar boleh menimbulkan keresahan kepada wanita apabila mengalami kesukaran untuk memasukkannya dan memuatkannya dalam faraj. Sebenarnya faraj wanita mampu mengembang dan meluas.

Jika bayi yang besar itu dapat keluar menerusi faraj, tiada zakar yang lebih besar daripada itu! Yang mustahak ialah wanita itu mengembangkan pembukaan faraj ketika memasukkan ereksi suami ke dalam ruang faraj.

Untuk melakukan itu dia perlu legakan kemut atau jangan kemut. Kembangkan pembukaan lubang faraj. Jika permukaan faraj kurang lembap, gunakan pelicin supaya lebih mudah zakar masuk.

Secara semula jadi, faraj boleh mengembang dan meluas sehingga tiga hingga empat kali ganda atau lebih (ketika bayi keluar).

Jika isteri masih tidak dapat menyesuaikan farajnya dengan ereksi suami atau dia kerap mengalami kesakitan faraj dan vulva setiap kali bersetubuh, elok bawa isteri berjumpa pakar sakit puan untuk menjalani pemeriksaan.

Mungkin doktor dapat membantunya melakukan pemeriksaan dan mengajarnya cara untuk meluaskan faraj. Sebilangan besar wanita berasa faraj mereka sempit untuk ereksi suami, namun selepas melahirkan bayi mereka tidak lagi mengalami masalah itu.

Sementara itu ‘keprihatinan’ terhadap saiz zakar, terutama yang menganggap zakar mereka kecil dan timbul minat yang tinggi untuk membesarkannya, secara tidak langsung membuka peluang untuk individu yang mahu buat duit menyediakan rawatan dan kaedah bukan-bukan.

Memandangkan saiz zakar isu sensitif, mereka yang mahu membesarkan zakar tidak membincangkannya secara terbuka, sekali gus menyebabkan ramai penjual dan pengusaha kaedah pembesaran zakar bermaharajalela kerana mangsa mereka tidak mendedahkan penipuan dilakukan.

Keadaan itu menyebabkan lebih ramai menjadi mangsa. Selagi perkara itu tidak didedahkan, selagi itu ada yang terperangkap dan terpedaya. Lebih menakutkan, kaedah dan rawatan yang mereka amalkan boleh memudaratkan kesihatan atau alat kelamin.

Sebagai contoh, ada tukang urut atau tabib menyuntik bawah kulit zakar dengan minyak cendana atau minyak bunga hingga menyebabkan keseluruhan zakar mengalami radang. Memang benar zakar menjadi besar, tapi ia tidak berfungsi.

Akibatnya mangsa terpaksa pula membelanja ribuan ringgit untuk menjalani pembedahan pemulihan yang akan ‘membantutkan’ lagi zakar mereka!

Begitu juga kaedah lain seperti menggunakan alat penarik zakar palsu atau yang diciplak sehingga otot dalaman terkoyak dan berlaku kekerasan otot yang menyebabkan zakar menjadi bengkok (penyakit Peyronie).

Ada juga yang menggunakan pam vakum sehingga kulit gelembung dan lebam serta zakar rosak akibat kebekuan darah dalam zakar.

Sebenarnya rawatan pembesaran zakar perlu dilakukan doktor dan pakar perubatan yang berkaitan. Memang tidak dinafikan masalah saiz zakar, sama ada kecil atau besar, sangat penting, namun ia satu isu kesihatan dan perlu dikendali secara profesional.

Jangan mudah terpengaruh dengan laman web yang kelihatan profesional tapi maklumat di dalamnya hanya diceduk dan mengelirukan.

Ada juga laman menggunakan nama doktor, termasuk nama saya, dengan pelbagai komen yang semata-mata hanya untuk melariskan produk mereka.

Hakikatnya saya tidak pernah buat komen sebegitu. Jadi jangan percaya laman yang menggunakan gambar saya kerana banyak penipuan berlaku.

No comments:

Post a Comment